Wednesday, November 30, 2011

Perkongsian: Kecerunan Keimanan

Perkongsian: Kecerunan Keimanan

Seorang Ikhwah menyatakan musykilahnya kepada saya. Sebuah penyataan yang saya juga agak terkedu mendengarnya. Sesuatu yang benar, namun pahit untuk ditelan. Perbualan malam kelmarin kembali bertamu.

“Akhi, ana rasa sesuatu yang kurang ketika bersama dengan ikhwah-ikhwah sekarang.”

Saya hanya menatap wajahnya, menanti kata-kata seterusnya.

“Kalau dulu dengan ikhwah-ikhwah senior yang ‘dah tak ada’ tu ana dapat rasa suasana tarbiyahnya. Bila jumpa dengan mereka, terasa nak beriman, bila berbincang selalu bincang tentang dakwah, nasihat-nasihat yang membangkitkan semangat. Tapi sekarang dah kurang. Macam dah tak ada.”

Memang benar penyataannya itu. Persoalannya, bagaimana hendak mengembalikan suasana itu? Ramai yang berpendapat. Namun saya ada pendapat sendiri.


Cara 1: Budayakan Bertanya Khabar Iman

“Ana rasa ikhwah ni dah kurang budaya menghidupkan suasana keimanan. Bila bertemu cuma bersalam dan berbasa-basi sahaja, kemudian masing-masing buat kerja sendiri. Tiada berbincang-bincang soal keimanan.”

“Berbincang soal keimanan?”

“Yalah. Sepatutnya bila bertemu, tanyalah apa khabar iman hari ini. Mutaba’ah lulus ke tidak. Kalau mutabaah dia tak lulus, kita beri nasihat. Ingatkan dia yang jalan dakwah ini panjang dan sukar, maka kita kena jaga hubungan dengan Allah, barulah Allah akan permudahkan jalannya.

“Nasihatkan dia supaya selalu dekatkan diri dengan Allah. Jangan biar diri kita lalai daripada beribadah, apatah lagi bermaksiat kepada Allah. Sebagai mereka yang menyeru kepada Allah, meninggalkan ibadah sahaja sudah dianggap sebagai maksiat. Itu yang Fathi Yakan katakana dalam bukunya, Isti’ab.”

“Jadi, macam mana kita nak hidupkan suasana itu?”

“Kita buat ketetapan. Setiap kali bertemu, pastikan perbualan yang berlaku mesti diselitkan sekurang-kurangnya sedikit mengenai perkara-perkara ini. Barulah terasa sedikit suasana tarbiyah dalam keimanannya.”

Cara 2: Budayakan Sikap-Sikap Keimanan

“Dulu ana selalu nampak ikhwah ke mana-mana mesti bawa Al-Quran kecil. Dalam poket mesti ada Al-Quran. Bila berborak, atas meja ada Al-Quran. Sampai pernah suatu masa orang gelar kita Jemaah Al-Quran Kecil!”

“Jadi pendapat antum pula macam mana nak selesaikan masalah kurangnya suasana tarbiyah ni?”

“Kita kena tetapkan supaya ikhwah-ikhwah sentiasa bawa Al-Quran ke mana-mana. Kalau ada masa lapang sahaja, baca Al-Quran. Nanti ikhwah-ikhwah lain akan teruja untuk membaca juga.”


Cara Saya

Apa yang disampaikan tadi semuanya benar. Memang kita perlu sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan menghidupkan sikap-sikap keimanan. Namun bagi saya ia tidak menyelesaikan punca masalah. Punca kepada mengapa tidak terasanya suasana keimanan tersebut.

Buat ketetapan untuk semua mesti bertanya mengenai khabar iman.

Buat ketetapan untuk semua mesti bawa Al-Quran ke mana-mana.

Apa persamaan dua perkara di atas? Ia berlaku atas dasar keterpaksaan. Ia merupakan dorongan dari luar untuk mengubah yang di dalam. Dan dorongan dari luar itu tidak mampu mengubah melainkan sesuatu yang berada di luar sahaja. Namun masalah dalaman itu masih belum selesai. Keimanan yang masih lemah.

Prinsip Perbezaan Kecerunan

Jika kita belajar konsep asas fizik, sesuatu kawasan yang mempunyai tekanan yang tinggi akan berpindah kepada kawasan yang mempunyai tekanan yang lebih rendah. Keadaan ini berlaku kerana wujudnya kecerunan tekanan. Dan ini merupakan penerangan kepada fenomena angin monsun yang berlaku kerana perbezaan tekanan yang berlaku antara hemisfera utara dan selatan bumi.

Begitu juga prinsip keimanan. Kita akan terasa ingin beriman apabila bersama dengan orang-orang yang sedang kuat imannya. Kita mampu untuk memberi semangat kepada seseorang apabila kita sedang bersemangat. Kita mampu memberi nasihat kepada orang lain agar kembali kepada Allah ketika kita dekat dengan-Nya.

Semua orang terpengaruh berdasarkan prinsip kecerunan ini.

Orang-orang yang beriman itu, di wajah mereka terpancar ketenangan. Kerana mereka dekat dengan Allah.

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud (pada air muka mereka kelihatan keimanan dan kesucian hati mereka).
[Al-Fath, 48:29]

Kesimpulan: Wujudkan Kecerunan Keimanan.

Ia perlu bermula dengan orang di dalam cermin.
Siapa di dalam cermin itu?
Kita. Saya dan anda semua.

Jika merasai kehilangan suasana keimanan,saya amat meyakini ia bermula dengan diri kita.

Cuba lihat bilakah kali terakhir kita:

1. Menangis di hadapan Allah ketika bersendirian
2. Membaca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh untuk mencari redha-Nya
3. Berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya agar Dia memelihara iman kita
4. Mengharap secara bersungguh-sungguh kepada-Nya agar Dia membantu kita

Jika jawapannya adalah sudah lama, maka kita sedang jauh daripada-Nya. Kembalilah mencari keimanan itu. Dekatkan diri kita dengan Allah. Jika kita dekat dengan Allah, maka kita juga akan sangat ingin mereka yang lain mendekatkan diri kepada-Nya.

Boleh jadi jauhnya mereka daripda Allah adalah berpunca daripada kita yang tidak memulakan langkah. Na’uzubillah min zaalik.


Wujudkan keimanan yang tinggi dalam diri kita. Tingkatkan keyakinan dan kedekatan diri kita dengan Allah SWT. Lalu pasti keimanan yang tinggi itu akan membentuk tekanan yang kuat kepada mereka yang berada di sekitar kita. Mereka pasti akan merasakan kecerunan itu, walaupun tanpa kata-kata. Itulah kecerunan yang mentarbiyah secara alami.

Kecerunan Keimanan.

Sebuah hasil karya penulisan: Shoutul Ikhwah

0 comments:

Post a Comment