Friday, December 17, 2010

perjalanan

bismillah alhamdulillah

Khadijah sedih. Pelbagai masalah difikirkannya. Namun dia tahu ini semua adalah takdir Tuhan. Tiada siapa yang dapat melawan. Dia redha. Walaupun begitu, jauh di sudut hatinya mahukan kehidupan yang lebih baik. Kadang-kadang kekecewaan yang menghantui hidupnya kini menjadikan dia termenung bagaimana nanti kehidupan dia dan adik-beradiknya yang lain tanpa kedua orang tuanya nanti.

Teringat dia masa zaman persekolahnya dahulu. Dia punya kawan yang keluarganya boleh dijadikan contoh. Namanya Sofia. Sofia mempunyai 5 adik-beradik. Dia punya abang, kakak, adik lelaki dan adik perempuan. Dia anak tengah. Selalu di asrama dia menceritakan hal keluarganya yang setiap minggu pasti mengadakan taklim di rumah kepada Khadijah. Ayah Sofia pula ustaz. Tidak hairan ayahnya mampu mendidik dia dan adik-beradiknya sebegitu rupa. Dan kadang-kadang kisah Sofia menyebabkan Khadijah seakan-akan 'down' lantaran kehidupannya yang jauh berbeza dari Sofia.

Walaupun Sofia selalu menceritakan hal keluarganya pada Khadijah, namun Khadijah tidak sedemikian rupa. Terasa dirinya kerdil untuk menceritakan masalahnya kepada Sofia. Bagi Khadijah, selagi dia mampu bertahan, dia tidak akan menceritakan masalahnya pada sesiapa. Biarlah ALLAH sahaja yang mengetahui tatkala hatinya pedih menerima ujian yang pedih.

Masalah yang terpendam menjadikan Khadijah hanya meluahkan masalahnya pada Tuhan Semesta Alam. Sedu-sedan tangisannya adakalanya adalah kekuatan bagi dirinya. Dia harus memotivasikan dirinya tanpa perlu bantuan sesiapa. Adakala tatkala imannya lemah, dia bermonolog pada Tuhan sambil tersedu-sedan " Ya ALLAH, kenapa aku perlu hadapi semua ini? Sampai bilakah ya ALLAH aku akan bahagia seperti sahabat dan teman-temanku yang lain? " Banyak persoalan-persoalan yang dilontarkan kerana baginya masalah yang rumit dan pedih ini sangat menggugat emosinya tatkala memikirkannya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Tiba-tiba pada suatu petang yang hening, Khadijah tidak mampu lagi membendung masalahnya lagi. Lantas dia memanggil seorang teman seperjuangannya yang lain, Mashitah. Teman-teman di sekolahnya lebih mengenali yang Khadijah bersahabat baik dan rapat dengan Sofia berbanding Mashitah, walaupun Khadijah, Mashitah dan Sofia sebenarnya jua selalu bersama. Lalu, Khadijah meluahkan segala isi hati dan permasalahnnya pada Mashitah. Kerana bagi Khadijah, Mashitah ada aura yang dapat menguatkannya.

"Sabarlah dijah, ini ujian untuk kau. Keluarga aku pun biasa-biasa aja. Tapi kita kena ingat yang ALLAH bagi ujian ini ikut level kemampuan kita. Kau doalah banyak-banyak untuk mereka. Dan aku doa untuk kau, dan kau juga doakan aku eh". Begitulah nasihat Mashitah kepada Khadijah.

"Hmm doakan aku kuat eh. Thanks Mas. Jangan cerita kat orang lain tau." kata Khadijah sambil meletakkan kepalanya dibahu Mashitah. Bagi Khadijah, susah untuk dia meluahkan masalahnya kepada orang lain melainkan orang yang baginya jujur dan dipercayai kepercayaannya dalam menyimpan rahsia. Kerana dia tahu, sifat perempuan yang terlepas cakap bisa menjejaskan hal kehidupan seseorang keseluruhannya.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah persekolahannya itu telah 4 tahun berlalu. Dan masalahnya jua berlalu tanpa menemukan sebarang penyelesaian. Dia akur. Bukan dia tidak berusaha, tapi apakan daya ALLAH jua yang lebih hebat dan berkuasa. Hanya doa dan tangisan yang menjadi penguatnya. Dan dia juga mendoakan agar suatu masa kelak, dia bisa memiliki keluarga seperti keluarga Sofia, teman persekolahannya dahulu. Mudah-mudahan dijodohkan dengan muslim yang mukmin, dengan penuh sifat tanggungjawabnya dan dia juga berdoa dan berharap suatu hari nanti dia mampu memiliki anak-anak yang soleh dan solehah. Maka terbinalah keluarga muslim. InsyaALLAH.

tamat.





0 comments:

Post a Comment