Monday, May 2, 2011

teknik hikmah

Perkongsian dari: Klik di sini

Perbahasan juga menyentuh tentang maksud menulis dan berdakwah dengan HIKMAH.

Berbekalkan pandangan al-Imam al-Raghib di dalam kitabnya al-Mufradaat, hikmah itu mengandungi 4 makna dasar iaitu:

  1. AL-MAN’U (المنع). Dakwah yang berhikmah mesti ada unsur menghalang orang daripada kepercayaan, kefahaman, pilihan dan tindakan yang salah.
  2. ISAABAH AL-HAQ BIL ‘ILM WAL ‘AQL (إصابة الحق بالعلم و العقل). Dakwah yang berhikmah juga mestilah mampu dan berjaya menyampaikan mad’u kepada kebenaran, dengan memanfaatkan ILMU dan AQAL.
  3. AL-MA’RIFAH (المعرفة). Dakwah yang berhikmah mesti mampu membina makrifah, yakni gambaran yang betul dan lengkap bagi kefahaman seseorang tentang topik yang didakwahkan.
  4. AL-FI’L (الفعل). Dakwah yang berhikmah juga bukan sahaja menghalang orang daripada kesalahan (unsur 1), malah ia juga mesti menjelaskan tindakan gantian kepada apa yang ditinggalkan itu. Ia mesti mendorong kepada tindakan perbuatan

TEKNIK HIKMAH

Teknik membina keupayaan mencari hikmah juga disentuh terutamanya pada mengambil penjelasan al-Quran berkenaan ULUL ALBAAB.

  1. Ulul Albaab mempunyai horizon renungan yang lengkap iaitu kombinasi ZIKIR dan FIKIR. Zikir memandunya kepada KHALIQ dan Fikir membantunya berhubung dengan MAKHLUQ. Di sini kunci pencegah konflik antara Syariatullah dan Sunnatullah, antara Agama dan Sains, antara Ikhtiar dan Tawakkal, Antara Sebab dan Musabbab dalam Qadha’ dan Qadar. [Aal 'Imraan 3: 190-191]
  2. Ulul Albaab merupakan pendengar yang baik. Mendengar terlebih dahulu pendapat yang hadir kepadanya, memuliakan kebenaran dengan memilih yang terbaik. Ulul Albaab belajar dan baca apa yang dia suka serta apa yang dia tidak suka, bergurukan guru yang dia suka dan guru yang dia tidak suka. Semuanya adalah untuk membentuk kefahamannya terhadap mengapa dia faham begitu dan orang lain faham lain. [Al-Zumar 39: 18]
  3. Ulul Albaab juga sentiasa mampu menghubungkan silam dengan semasa sebagai asas amalnya membina masa depan. Ulul Albaab belajar daripada sejarah, dan pengajarannya berkait langsung dengan dirinya. [Yusuf 12: 111]

Tiga elemen ini boleh menjadi asas membantu seorang pendakwah menjadi manusia yang fikiran, cadangan serta tindakannya BERHIKMAH yakni menepati masalah sebenar berbanding masalah kelihatan yang tak berkesudahan. Ketepatan itu membantu menghasilkan IMPAK pada tulisan yang ditanya oleh salah seorang peserta.

Pendakwah juga mesti berani keluar daripada zon selesa dan cuba meninjau zon cabaran supaya pendedahan dan horizonnya berkembang, dengan maksud mengembalikan manfaat kepada tujuan asal dakwah.

BODOH PERLU

“Kita juga mesti beberapa kali dalam hidup didatangi oleh rasa bodoh, untuk membolehkan diri berkembang lagi meningkat” saya menambah.

Semasa belajar, kita rasa semakin bertambah kefahaman tentang bidang yang dipelajari. Namun sebaik sahaja menamatkan pengajian, jika tidak didatangi rasa ‘bodoh’, maka setakat sijil, diploma atau ijazah itulah diri kita. Harus berkali-kali terasa bodoh, dan mencari jalan untuk menyembuhkan kebodohan sepanjang hayat tersebut.

Justeru, pendakwah, apatah lagi pendakwah yang mahu menulis, bukan sahaja dituntut terus membaca dan banyak membaca, malah juga mempelbagaikan pembacaan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

0 comments:

Post a Comment